"Appreciating and experiencing small things in life is key to happiness."
Wednesday, July 21, 2010
Apa Istimewa SYAABAN?
HARI berganti hari. Bulan berganti bulan. Rejab telah meninggalkan kita. Sekarang kita telah masuk pula ke bulan Syaaban. Dan selepas ini madrasah Ramadhan bakal menyahut seruan iman kita. Adakah kita telah bersedia untuk menghadapinya?
Syaaban itu bermaksud berpecah-pecah. Atau dalam erti kata lainnya ialah berpuak-puak. Nama ini diambil bersempena dengan peristiwa pada suatu masa dulu di mana kaum Quraiysh yang terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir. Dan bila Rasulullah S.A.W datang, baginda telah mengekalkan nama itu sehingga sekarang.
Apa pula istimewanya, kelebihan dan fadhilat bulan Syaaban ini?
1. Rasulullah SAW. lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
Jadi kita sebagai umat baginda, marilah kita sama-sama mencontohi sunnah dan amalan baginda S.A.W ini. Banyakkanlah puasa sunat dan dekatkanlah diri kita kepadaNya di dalam Syaaban ini. Baginda sendiri ada bersabda yang berbunyi, “Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid.” Hadis ini tertulis di dalam kitab Durratun Nasihin.
Dalam sebuah hadis lain daripada riwayat Bukhari dan Muslim, Saidatina Aisyah berkata, “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa penuh melainkan pada bulan Ramadhan, aku tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan puasa melainkan pada bulan Syaaban.”
2. Meningkatkan rasa takut pada Allah dan berusaha menjauhi diri daripada perkara-perkara maksiat.
Dalam salah satu sabda Nabi S.A.W dalam kitab Zubdatul Wa’izhin,”Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit.”
3. Bulan untuk kita menghisab dan memperbaiki kembali kesilapan diri.
Sebahagian ahli hikmah sendiri ada menyebutkan bahawa, “Sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk kita memohon ampun atas segala dosa, dan bulan Syaaban pula adalah peluang untuk memperbaiki daripada cela dan pada bulan Ramadhan pula adalah bulan untuk menerangkan hati dan jiwa.”
Semoga Syaaban kali ini menjadikan kita seorang manusia yang lebih sempurna hati, amalan dan setiap tindakan kita di mata Allah.
Insyallah…
S.I.S
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment